Saturday 23 April 2011

taFSiR aL-FaTiHah...

Faedah sebutan ar-Rahman dan ar-Rahim selepas lafaz `Rab al-`alamin’ ialah lafaz Rab menggambarkan kebesaran, ketua dan kuasa. Boleh jadi tanggapan pandangan bahawa Rab ini amat keras tanpa kasihan belas terhadap hamba-Nya yang sudah tentu diselubungi hatinya perasaan takut dan putus asa. Justeru amat munasabah didatangkan dengan jumlah ini untuk mengesahkan bahawa Rab ini bersifat Rahman dan Rahim. Abu Hayyan dalam tafsirnya, Bahru al-Muhit berkata : Dimulakan dengan sifat rububiyah jika Rab dengan makna ketua, tuan atau pemilik yang berhak diabdikan. Jadilah ia sifat perbuatan baginya. Justeru sifat Rahmaniah dan Rahimiah dinyatakan untuk membuka ruang cita-cita hamba dalam memohon keampunan sekalipun sudah tergelincir.

- Ayat keempat (MALIKI YAUMID DIN). Maksudnya : Yang menguasai hari pembalasan. `Maliki’ dengan dipanjangkan `ma’ memberi maksud pemilik, sedangkan `ma’ tanpa dipanjangkan memberi maksud raja. Kedua-dua bacaan ini mutawatir mengikut bacaan qurra’ yang sepuluh. Syeikh Abdul Rahman Habannakah berkata : Dua bacaan ini saling menyempurnakan dalam menunaikan makna yang dikehendakinya. Allah pada hari tersebut adalah raja pada setiap sesuatu dengan kerajaan-Nya yang besar, tanpa sebarang sekutu dalam kerajaan-Nya walaupun dalam bentuk gambaran sekalipun. Allah juga pemilik pada hari tersebut yang tidak disertakan oleh mana-mana makhluk dalam pemilikannya.

`Yaum’ dengan makna hari, masa, zaman dikehendaki juga dengan setiap sesuatu padanya yang maddi atau maknawi. `Ad-Din’ bermakna agama atau disebut hari balasan dan penghisaban Allah terhadap hamba-Nya. Syeikh Sirajuddin berkata : Ayat ini menegaskan beberapa perkara:

- Ingatan kepada wujud dan benarnya hari ini sebagai pembalasan.

- Ingatan kepada amalan yang baik kerana pasti dibalas mengikut amalan masing-masing.

- Hikmah yang sebenarnya kerana orang baik dan jahat tidak sama, justeru hari ini sebagai pemisah.

- Dalil bahawa semua hamba yang mukalaf dikurniakan Allah akal, fikiran, ikhtiar dan kudrat yang memungkinkan bagi mereka melakukan kebaikan dan kejahatan. 

As-Syahid Syed Qutb mengibaratkan ayat ini dengan gambaran yang besar lagi mendalam berhubung dengan keseluruhan iktikad Hari Akhirat yang menjadi pemisah antara dua golongan manusia yang beriman dan yang ingkar. As-Syahid Hasan al-Banna menafsirkan bahawa jika perkara yang demikian, jadilah hamba yang mukalaf mencari kebaikan dan jalan yang selamat lebih penting daripada segala-galanya. Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim daripada hadis Syaddad bin Aus: “Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa muhasabah dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati.” Inilah juga kenyataan Umar al-Khattab : “Hisablah (hitunglah) dirimu sebelum kamu dihisab.”

- Ayat kelima (IYYAKA NA’BUDU WA IYYAKA NASTA`IN). Maksudnya : Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.
`Iyyaka na’budu’- Makna ayat ini seperti kata Ibn Abbas : Kami ibadah kepada-Mu dan tidak ibadah kepada yang lain. Didahulukan kalimah `kepadamu’ daripada kalimah `kami ibadah’, bertujuan kesungguhan prihatin dan orang Arab mendahulukan yang paling penting daripada yang penting seperti jawapan al-Qurtubi. Didahulukan yang kena buat (maf`ul) daripada perbuatan memberi maksud terbatas dan takhsis kepada ini sahaja. Dalam ibarat yang lain – Ya Allah kepada-Mu saja kami ibadah dan kepada-Mu sahaja kami minta tolong. Bahasa yang digunakan adalah ramai – kami ibadah dan kami minta tolong, sedangkan mungkin pelaku ibadah seorang saja.

Abi Su’ud berkata : Ini kerana pengiktirafan hamba betapa lalai dan cuainya dia ketika berdepan di pintu Raja segala Raja (Allah) yang dimintanya pertolongan hidayah secara perseorangan, seolah-olah dia berkata : Hai Tuhan, aku hamba yang fakir lagi hina tidak layak untuk munajat-Mu secara bersendirian. Justeru aku sertakan bersama ahli tauhid dan aku berdoa bersama mereka, justeru terimalah doaku bersama mereka. Ini kerana kami semua ibadah kepada-Mu dan meminta pertolongan dengan-Mu. Syeikh Abdullah Sirajuddin dalam tafsirnya menambah sebab yang lain, iaitu digunakan `kami’ pada ibadah dan meminta tolong sebagai iklan betapa berhajatnya semua untuk ibadah kepada Allah yang menciptakan mereka.

No comments:

Post a Comment